Kelantan Backpacker

Berjalan Tiada Henti

LightBlog

SHAH ALAM - Peluang Malaysia untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia ibarat nyawa-nya...

Malaysia Nyawa-nyawa ikan



















SHAH ALAM - Peluang Malaysia untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia ibarat nyawa-nyawa ikan selepas tewas kepada Qatar 0-1 dalam aksi kelayakan di Stadium Shah Alam, semalam.
Sebaliknya, Qatar dan Bahrain mengesahkan dua tempat teratas Kumpulan D untuk layak ke pusingan akhir.
Secara matematik, Malaysia masih miliki peluang tipis jika berjaya mengalahkan Yemen dalam saingan terakhir di tempat lawan, 5 Mac tahun depan, namun pada masa yang sama terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan lain untuk menamatkan cabaran selaku pasukan ketiga terbaik.
Dalam pada itu, janji ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mahu memberi kelainan ketika menentang Qatar tidak menjadi.

Jaringan tunggal pemain gantian Qatar, Al-Ali pada minit ke-64 memberi tamparan hebat buat pasukan Harimau Malaya yang dilihat semakin terdesak untuk mencari slot ke Piala Asia 2015.
Pada 20 minit separuh masa pertama berlangsung, jelas sekali Malaysia seperti kehilangan arah. Dua hantaran lintang S. Kunanlan langsung tidak menepati sasaran, manakala Safiq Rahim pula seolah gagal berfungsi sebagai perancang.

Jika menyentuh tentang percubaan berbahaya pula, tidak banyak cubaan menguji penjaga gol Qatar, Saad Al Sheeb, sedangkan pasukan lawan dilihat lebih mengancam dengan kehebatan penyerang naturalisasi, Sebastian Soria.

Safee Sali yang diturunkan dalam kesebelasan utama juga gagal membuktikan kepada pengkritik bahawa dia mampu membantu Malaysia mencatat kemenangan, sementara Norshahrul Idlan Talaha juga tenggelam punca.

Pujian mungkin boleh diberikan sedikit kepada pertahanan negara yang diketuai oleh Aidil Zafuan Abd. Radzak kerana masih mengekalkan corak berdisiplin seperti mana yang dipamerkan ketika tewas kepada Bahrain 0-1, Jumaat lalu.

Bagaimanapun mereka tetap dibolosi lawan pada minit ke-64 apabila Al-Ali berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat selepas menerima hantaran Soria.
Kekalahan ini bermakna Malaysia terpaksa melupakan slot untuk mara antara dua pasukan terbaik Kumpulan D dan perlu bergantung harap menjadi pasukan ketiga terbaik dalam kempen kelayakan ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131120/su_01/Nyawa-nyawa-ikan#ixzz2lAARVOAl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments: