Kelantan Backpacker

Berjalan Tiada Henti

LightBlog

SHAH ALAM - Walaupun kekalahan 0-1 kepada Qatar seakan hampir menutup peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2015, na...

Datuk K. Rajagobal enggan mengibarkan bendera putih




SHAH ALAM - Walaupun kekalahan 0-1 kepada Qatar seakan hampir menutup peluang Malaysia untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2015, namun ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal enggan mengibarkan bendera putih, sebaliknya percaya, peluang anak-anak buahnya untuk beraksi di Australia masih ada.
Kalau dihitung secara realistik, kekalahan pada perlawanan kedua terakhir Kumpulan D di Stadium Shah Alam itu hampir melenyapkan harapan Malaysia untuk memburu tiket ke Australia, tetapi Rajagobal menegaskan, selagi peluang masih ada, selagi itu pasukannya akan terus berjuang.
Rajagobal bagaimanapun mengakui, selain perlu menang dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Yemen di tempat lawan pada 5 Mac, 2014, Malaysia juga perlu mengharap ihsan daripada pesaingnya dalam kumpulan lain.
“Kami perlu positif dengan setiap yang berlaku. Selagi belum berakhir saingan peringkat kumpulan, saya percaya peluang untuk ke Piala Asia tetap ada.
“Memang saya akui kekalahan ini amat menyakitkan, namun kami tetap menerimanya kerana bagi saya pasukan telah memberikan aksi terbaik pada perlawanan ini," kata Rajagobal.
Rajagobal turut mengakui, Harimau Malaya mempunyai peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa kedua, namun tidak dapat dimanfaatkan dengan baik.
“Mereka (Qatar) bermain dengan baik dan perlu diingat bahawa mereka tidak meraih kemenangan ini dengan mudah.
“Perlawanan ini amat sengit, malah kami turut berjaya menafikan beberapa percubaan untuk mendapatkan jaringan daripada pihak lawan dengan baik," kata Rajagobal.
Biarpun Malaysia mengalahkan Yemen 2-1 dalam aksi pertama, namun perlawanan seterusnya tidak mudah kerana ia berlangsung di tempat lawan.
Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan layak meraih tempat ke Piala Asia 2015 dan satu slot ditawarkan buat pasukan ketiga terbaik daripada lima kumpulan yang ada.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131120/su_02/Tetap-positif-peluang-Malaysia#ixzz2lABguIhE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments: